Skip to main content

8 DIMENSI TUAH

November 28, 2020

Adalah menjadi salah satu keutamaan pihak Universiti untuk melahirkan graduan yang profesional dan beretika dengan meningkatkan kompetensi dan kecemerlangan sahsiah kepada para pelajar di UTeM. Melalui konsep pelajar UTeM adalah TUAH, segala program yang dijalankan menerapkan keupayaan dan kebolehan pelajar UTeM sebagai TUAH UTeM yang profesional, beretika, ihsan dan daya juang yang tinggi.

Oleh yang demikian, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) berusaha untuk memperkasa aktiviti pembangunan pelajar yang holistik, keusahawanan dan seimbang melalui kerjasama yang erat bersama semua Fakulti dan Pusat Tanggungjawab.

Tahun 2019 menyaksikan penglibatan pelajar secara aktif melalui 678 program atau aktiviti pelajar yang telah dianjurkan daripada pelbagai kelab, persatuan, fakulti, sekretariat, badan beruniform dan anjuran luar. Secara umumnya, program yang dijalankan ini merangkumi 8 Dimensi (Teras) iaitu Akademik dan Kerjaya, Etika dan Rohani, Pengurusan & Kepimpinan, Keusahawanan, Sukan & Rekreasi, Budaya & Identiti Nasional, Sukarelawan dan Teknikal & Inovasi yang telah disusun secara berstruktur dan lestari selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) – PPPM (PT), Dasar Belia Negara dan Nilai Teras UTeM.

Penglibatan seramai 91,158 orang pelajar dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan melalui persatuan, kelab, sekretariat, badan beruniform yang dianggotai oleh pelajar UTeM dan juga dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta (pihak industri) atau komuniti setempat. Seramai 4,988 pelajar telah menjadi sukarelawan di dalam program yang dijalankan sepanjang 2019. Sumbangan tenaga, kemahiran dan idea telah menjadikan program yang dirancang berjaya dan telah memberikan manfaat kepada pelajar secara tidak langsung. Bagi menerapkan keusahawanan kepada pelajar, pelbagai program khusus yang telah berjaya dilaksanakan secara berstruktur sehingga melahirkan 203 orang usahawan di kalangan pelajar yang telah berdaftar. Kecemerlangan para pelajar UTeM sebagai TUAH UTeM telah menyerlah melalui 35 kemenangan anugerah utama di peringkat antarabangsa dan kebangsaan bagi acara inovasi dan teknikal. Ini adalah penting bagi menampilkan keupayaan pelajar UTeM yang seharusnya menyerlah di dalam bidang teknikal. Justeru itu, pada 2019 sebanyak 58 pingat dan pengiktirafan telah diperolehi di kalangan pelajar UTeM.

Penglibatan pelajar dalam kegiatan berpersatuan berupaya meningkatkan kemahiran pelajar dalam pengurusan organisasi, berkomunikasi, kepimpinan dan jati diri bagi membentuk pelajar yang holistik, seimbang akademik dan kokurikulum, berdaya saing serta mampu menempatkan diri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Secara umumnya, sebilangan besar porgram adalah dikendalikan di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan selebihnya adalah di bawah fakulti serta Pusat Tanggungjawab seperti PJIM dan CREATE. Bagi 2019, sebanyak 325 program yang telah diluluskan di bawah Jawatankuasa Pembangunan Hal Ehwal Pelajar (JPHEP) yang telah melibatkan 39,286 peserta program. Program ini secara keseluruhan telah menerima peruntukan sebanyak RM450,975 dengan RM154,033 diperolehi dari derma dan tajaan. Dengan mengambilkira jumlah keseluruhan program pelajar yang dianjurkan oleh pihak fakulti dan Pusat Tanggungjawab yang lain, jumlah program pelajar ini meningkat kepada 678 dengan 91,158 peserta.

Ingin menjadi TUAH UTeM?
Ayuh bersama kami di Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ditubuhkan pada 1 Disember 2000 sebagai IPTA Teknikal pertama di Malaysia.