Skip to main content

Pengarang: hep

TAHNIAH! KEPADA SEMUA USAHAWAN ASNAF/ B40 PELAJAR YANG TERPILIH SEBAGAI PENERIMA DANA ZAKAT BAGI PROGRAM BANK RAKYAT UNIPRENEUR

Alhamdullilah, sukacita dimaklumkan Bank Rakyat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) bagi program keusahawanan dan membangunkan lebih ramai usahawan pelajar daripada golongan asnaf/ B40 dalam program yang kenali sebagai Bank Rakyat UNIpreneur. 

Untuk makluman semua, kerjasama Bank Rakyat dan CREATE, HEPA bagi program Bank Rakyat UNIprenur ini telah bermula sejak 2022 dengan seramai 33 orang pelajar daripada golongan asnaf/ B40 dengan dana zakat sebanyak RM107, 250.00 dengan peruntukan sebanyak RM3,000.00 setiap orang. Manakala, pada 2023 sekali lagi Bank Rakyat berbesar hati dan bersetuju meneruskan program ini di UTeM dengan dana zakat sebanyak RM66,000.00 bagi melahirkan 22 orang lagi usahawan asnaf/ B40 dalam kalangan pelajar asnaf/ B40. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dana zakat yang diterima CREATE, HEPA bagi program Bank Rakyat UNIprenur adalah sebanyak RM173,250.00. 

Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih diucapkan kepada Tuan Mazlan Bin Mohamad, Ketua Wilayah Melaka & Negeri Sembilan dan Pengurus-Pengurus Cawangan Bank Rakyat di Negeri Melaka yang sudi berkunjung ke Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi menyerahkan ‘mock cheque’ bernilai RM66,000.00 kepada YBhg. Prof. Madya Datuk. Dr. Sabri Mohamad Sharif (Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni) yang mewakili UTeM sebagai simbolik UTeM terus diberikan kepercayaan untuk meneruskan program Bank Rakyat UNIpreneur pada tahun ini. 

Dimajlis tersebut, Tuan Mazlan Bin Mohamad juga turut sudi untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘Asnafprenur (Students) Development Altruistic Module’/ Modul Pembangunan Altruistik Usahawan Asnaf (Pelajar) atau lebih dikenali sebagai A.D.A.M. Modul ini bukan sahaja akan digunakan bagi program keusahawanan dalam kalangan usahawan asnaf/ B40 pelajar di UTeM dan juga agensi mahupun institusi-institusi yang lain.

Akhir kata, tahniah diucapkan kepada semua pelajar UTeM yang terpilih bagi program Bank Rakyat UNIpreneur pada tahun ini dan diharapkan agar dana zakat yang diberikan ini dapat digunakan oleh semua para semua peserta dengan sebaik-baiknya. 

Baik Budi Hati Bersih,

Disukai Ramai Dikelilingi Teman,

Kalungan Budi Junjungan Kasih,

Budi Baik Bank Rakyat Dikenang Sepanjang Zaman.

Jika Tidak Mahu Bergelap Lama,

Dapatkan Cahaya Memasang Lilin,

Terima Kasih Bank Rakyat Sudi Bekerjasama,

Moga Terus Erat Ikatan Terjalin. 

Continue reading

Majlis Perasmian National Training Week (NTW) Peringkat Negeri Melaka

24 Mei 2023 | 4 Zulkaedah 1444H
Dewan UTeM 1, Kampus Teknologi

Majlis Perasmian National Training Week (NTW) Peringkat Negeri Melaka telah berlangsung dengan jayanya pada petang semalam.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan, Sumber Manusia & Perpaduan Kerajaan Negeri Melaka.

Terima kasih YB diatas kesudian merasmikan program ini.

Sementara itu, di Dewan Canselor UTeM juga turut berlangsungnya Bengkel Kebolehpasaran Graduan ‘Young Minds Career Exploration’.

Alhamdulillah, kedua-dua program ini mendapat sambutan yang menggalakkan seperti yang telah dirancangkan.

Terima kasih kepada Pihak Berkuasa Universiti (PBU) yang terdiri daripada Pusat Pengurusan Alumni & Kebolehpasaran Graduan (PPAKG), Centre for Academic Excellence and Scholarship (CAES), Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-MELAKA dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta terima kasih juga kepada rakan strategik kami HRD Corp dan PERKESO diatas penganjuran program yang bermanfaat ini.

Semoga kita dapat bekerjasama lagi di masa-masa yang datang.

#myutem#myhepautem#hepaprihatin#UTeMprihatin#tuahutem#hepautemterbilang#teamutem#keluargautem#tnchepautem#utemcampus#utemcares#menjajaruniversitimelonjakehadapan

Continue reading

Wacana Madani : Enam Tonggak Membangunkan Malaysia Madani

17 Mei 2023 | 26 Syawal 1444H

Alhamdulillah, Program Wacana Madani : Enam Tonggak Membangunkan Malaysia Madani yang berlangsung pada pagi tadi telah berjalan dengan lancar dan baik.

Program bermula dengan ucaptama oleh YBhg. Profesor Dato Dr. Mohammad Agus bin Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri.

Seterusnya, diikuti dengan forum Wacana Madani yang yang disampaikan oleh 3 orang ahli panel iaitu YBhg. Datuk Profesor Madya Dr. Sabri bin Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Encik Mohd Jamizal bin Zainol, Pengerusi Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE) dan Saudara Iqbal Hakimi bin Mohammad Feirdaus, Naib Yang Di-Pertua 2 MPP.

Program ini diadakan bagi mengetengahkan konsep ‘Malaysia Madani’ dan mengupas serta memperjelaskan enam tonggak membangunkan Malaysia Madani.

Diharap melalui program ini, para pelajar dapat memanfaatkan ilmu yang telah disampaikan untuk diaplikasi dalam kehidupan seharian.

#myutem #myhepautem #hepaprihatin #UTeMprihatin #tuahutem #hepautemterbilang #teamutem #keluargautem #tnchepautem #utemcampus #utemcares #menjajaruniversitimelonjakehadapan

Continue reading

Majlis Penutupan Dan Penyampaian Hadiah National Micro Enterprise Pitching Competition 2022

14 Mei 2023 | 23 Syawal 1444H
Hotel Bayou Lagoon Park Resort

Ahad lalu saya mewakili YBrs. Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin, Naib Canselor UTeM ke Program Majlis Penutupan Dan Penyampaian Hadiah National Micro Enterprise Pitching Competition 2022 yang telah berlangsung dari 12 – 14 Mei 2022.

Program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Fazidah binti Mustafa, Setiausaha Bahagian (Perancangan Strategik) KPT dan ianya merupakan hari kemuncak bagi semua peserta setelah hampir 3 fasa yang dilalui sejak 26 Februari 2023 yang lalu.

Pelaksanaan program ini bukan sahaja membantu merealisasikan hasrat KPT dalam meningkatkan bilangan syarikat pemula pelajar (start-up) malah ianya seiring dengan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT 2021-2025) ke arah ‘Memartabatkan Keusahawanan dalam Memperkasakan Negara’.

Dalam program ini pelbagai kategori dipertandingkan antaranya Industri Seni dan Kreatif, Makanan dan Minuman, Teknologi dan Inovasi, Perkhidmatan, Showcase Terbaik, Pembentangan Terbaik, Kerjasama Kumpulan Terbaik, Produk Terbaik dan Perkhidmatan Terbaik.

Tahniah buat semua pemenang dan kepada yang belum menang, saya doakan anda akan menang pada tahun hadapan dan berikutnya.

Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Bahagian Perancangan Dasar KPT diatas kepercayaan yang telah diberikan kepada UTeM khususnya Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Pejabat HEPA serta semua yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini.

Saya berharap agar kerjasama yang terjalin di antara UTeM dan KPT ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Continue reading

MESYUARAT PELARASAN PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN KAFETERIA

28 April 2023/ 7 Syawal 144H
Pejabat Pentadbiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), UTeM

Pada Jumaat petang lalu, saya berkesempatan untuk mempengerusikan mesyuarat pelarasan penambahbaikan perkhidmatan kafeteria yang melibatkan 9 pengusaha kafeteria di UTeM. Sebahagian besar pengusaha yang hadir merupakan pemilik dan sebilangan kecil merupakan wakil syarikat kafeteria yang terletak di Kampus Induk, Durian Tunggal dan kafeteria Kampus Industri di Ayer Keroh.

Manakala, wakil UTeM terdiri dari para pegawai saya termasuk Pengarah Pusat Kesihatan, para pegawai HEPA terlibat dan kehadiran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mewakili ‘suara’ pelajar.

Mesyuarat penting ini diadakan bagi menambah baik perkhidmatan Kafeteria khususnya berkaitan pengurusan kebersihan, pematuhan aspek kesihatan KKM, kepelbagaian menu, harga menu makanan yang murah dan berpatutan, pelaksanaan menu siswa rahmah, menu rahmah, Tuah Care Food@Campus (makanan percuma kepada pelajar B40), pekerja Kafeteria yang mencukupi serta perkara-perkara berkaitan termasuk cadangan bernas daripada pelajar, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelajar.

Ia juga berkaitan penambahbaikan seperti yang disyorkan dalam mesyuarat kebajikan pelajar bersama Naib Canselor baru-baru ini.

Dalam mesyuarat ini, pihak saya telah membentangkan terlebih dahulu laporan pemeriksaan berkala kafeteria yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kesihatan, dapatan audit MS ISO 9001:2015 yang terkini dan laporan aduan serta cadangan-cadangan penambahbaikan, yang dibentangkan oleh pihak MPP mengenai kafeteria kepada semua pengusaha yang hadir.

Seusai pembentangan ketiga-tiga laporan tersebut, saya memberi peringatan dan memandang serius perkara ini dan mengharapkan semua pengusaha kafeteria untuk memberi perkhidmatan terbaik serta mematuhi segala perkara yang terkandung dalam kontrak. Keingkaran para pengusaha mematuhi perkara ini, tindakan tegas boleh diambil dan dikenakan selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

Tegas saya, pihak HEPA tidak sama sekali boleh berkompromi dalam hal-hal kebersihan, kualiti makanan dan sebagainya yang melibatkan bukan sahaja ‘kesihatan’ para pelajar secara umum tetapi warga UTeM secara keseluruhannya.

Alhamdullillah, mesyuarat petang tersebut telah berjalan dengan lancar dan sempurna dengan semua pengusaha.

Beberapa solusi penting secara bersama telah dipersetujui dan disepakati seperti pengenalan ‘grading system’ iaitu penggredan kafeteria mengikut gred seperti gred ‘A’ paling bersih, Gred ‘B’ bersih dan gred ‘C’ memuaskan tetapi dipantau dan diperbaiki perkhidmatannya.

Turut dipersetujui ‘harga’ menu Rahmah dan menu siswa Rahmah akan dilaksanakan secara serentak oleh semua pengusaha di UTeM.

Selain beberapa solusi dan tindakan-tindakan penting lain sama ada secara segera, sederhana dan masa panjang terutama bagi penambahbaikkan kafeteria ke tahap terbaik dan cemerlang.

myutem #myhepautem #hepaprihatin #UTeMprihatin #tuahutem #hepautemterbilang #teamutem #keluargautem #tnchepautem #utemcampus #utemcares #menjajaruniversitimelonjakehadapan

Continue reading