28 April 2023/ 7 Syawal 144H
Pejabat Pentadbiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), UTeM
Pada Jumaat petang lalu, saya berkesempatan untuk mempengerusikan mesyuarat pelarasan penambahbaikan perkhidmatan kafeteria yang melibatkan 9 pengusaha kafeteria di UTeM. Sebahagian besar pengusaha yang hadir merupakan pemilik dan sebilangan kecil merupakan wakil syarikat kafeteria yang terletak di Kampus Induk, Durian Tunggal dan kafeteria Kampus Industri di Ayer Keroh.
Manakala, wakil UTeM terdiri dari para pegawai saya termasuk Pengarah Pusat Kesihatan, para pegawai HEPA terlibat dan kehadiran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mewakili ‘suara’ pelajar.
Mesyuarat penting ini diadakan bagi menambah baik perkhidmatan Kafeteria khususnya berkaitan pengurusan kebersihan, pematuhan aspek kesihatan KKM, kepelbagaian menu, harga menu makanan yang murah dan berpatutan, pelaksanaan menu siswa rahmah, menu rahmah, Tuah Care Food@Campus (makanan percuma kepada pelajar B40), pekerja Kafeteria yang mencukupi serta perkara-perkara berkaitan termasuk cadangan bernas daripada pelajar, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelajar.
Ia juga berkaitan penambahbaikan seperti yang disyorkan dalam mesyuarat kebajikan pelajar bersama Naib Canselor baru-baru ini.
Dalam mesyuarat ini, pihak saya telah membentangkan terlebih dahulu laporan pemeriksaan berkala kafeteria yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kesihatan, dapatan audit MS ISO 9001:2015 yang terkini dan laporan aduan serta cadangan-cadangan penambahbaikan, yang dibentangkan oleh pihak MPP mengenai kafeteria kepada semua pengusaha yang hadir.
Seusai pembentangan ketiga-tiga laporan tersebut, saya memberi peringatan dan memandang serius perkara ini dan mengharapkan semua pengusaha kafeteria untuk memberi perkhidmatan terbaik serta mematuhi segala perkara yang terkandung dalam kontrak. Keingkaran para pengusaha mematuhi perkara ini, tindakan tegas boleh diambil dan dikenakan selaras dengan peraturan yang ditetapkan.
Tegas saya, pihak HEPA tidak sama sekali boleh berkompromi dalam hal-hal kebersihan, kualiti makanan dan sebagainya yang melibatkan bukan sahaja ‘kesihatan’ para pelajar secara umum tetapi warga UTeM secara keseluruhannya.
Alhamdullillah, mesyuarat petang tersebut telah berjalan dengan lancar dan sempurna dengan semua pengusaha.
Beberapa solusi penting secara bersama telah dipersetujui dan disepakati seperti pengenalan ‘grading system’ iaitu penggredan kafeteria mengikut gred seperti gred ‘A’ paling bersih, Gred ‘B’ bersih dan gred ‘C’ memuaskan tetapi dipantau dan diperbaiki perkhidmatannya.
Turut dipersetujui ‘harga’ menu Rahmah dan menu siswa Rahmah akan dilaksanakan secara serentak oleh semua pengusaha di UTeM.
Selain beberapa solusi dan tindakan-tindakan penting lain sama ada secara segera, sederhana dan masa panjang terutama bagi penambahbaikkan kafeteria ke tahap terbaik dan cemerlang.
myutem #myhepautem #hepaprihatin #UTeMprihatin #tuahutem #hepautemterbilang #teamutem #keluargautem #tnchepautem #utemcampus #utemcares #menjajaruniversitimelonjakehadapan