Skip to main content

Cemerlang di Peringkat Kebangsaan : UTeM Juara Keseluruhan Kejohanan eSport Uni League 2020

November 26, 2020

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mencipta sejarah baru apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Kejohanan sulung eSport Uni League 2020 apabila berjaya mendahului saingan hebat daripada 67 institusi pengajian tinggi lain.

Kejohanan ini telah bermula dari 30 Oktober dan berlangsung selama 3 minggu bagi pusingan awal, manakala perlawananan Grand Final berlangsung pada 21 hingga 22 November 2020 lalu melibatkan 7 acara dipertandingkan iaitu Arena of Valor (AOV), Mobile Legend Bang Bang (MLBB), DOTA 2, Player Unknown Battleground (PUBG Mobile), FIFA2020, PES 2020 dan Honor of King (HOK). 

Semua acara dipertandingkan secara dalam talian bagi mematuhi keperluan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapka oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan penularan dan jangkitan wabak Covid-19. Pasukan UTeM merangkul juara keseluruhan Kejohanan eSport Uni League- 2020 dan membawa pulang piala pusingan kejohanan di samping 3 kejayaan lain iaitu juara bagi acara AOV, tempat ketiga bagi acara HOK dan tempat keempat bagi acara PUBG Mobile. 

Selaku juara bagi kategori AOV melayakkan pasukan UTeM membawa pulang wang tunai RM 3,000.00 bersama pingat manakala bagi kedudukan tempat ketiga pula melayakkan mereka menerima wang tunai RM1,000.00 bersama pingat dan tempat keempat pula turut memberikan hasil wang tunai RM 500.00 bersama pingat. Bagi kategori AOV dianggotai oleh 5 orang mahasiswa UTeM yang terdiri Muhammad Ilyas Azahir, Wan Muhammad Firdaus Abdul Latip, Faisal Hakim Mohd Suhaidi, Muhammad Firdaus Azman dan Muhammad Ezzat Ainuddin Mohd Hussin. Sementara itu bagi kategori HOK pula adalah terdiri daripada Simon Teo Yip Quan, Lee Zher Ye, Yee Yen Hoe, Chuan Chuan You, Lee Mun Heng dan Loh Ee Hong manakala bagi kategori PUBG Mobile terdiri daripada Ariz Mustaffar, MuhammadShamil Shaiful, Muhamad Haziq Haikal Kamarudin, Danial Irfan Abd Halim dan Wan Ashraf Idham Wan Abdullah. 

Pasukan kontinjen UTeM telah diuruskan dengan baik yang diketuai oleh Pengarah Pusat Sukan UTeM, Prof Madya Dr. Mohd Sanusi Azmi dan dibantu oleh Pegawai Belia dan Sukan Kanan, UTeM, Siti Sarah Bujang. Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini menyerlahkan kecemerlangan mahasiswa universiti ini yang dikenali sebagai TUAH UTeM dalam arena sukan era masa kini yang telah mula mendapat perhatian ramai dalam dan luar negara. Katanya, Kejohanan E Sukan Uni League 2020 ini juga turut menjadi medan terbaik bagi mahasiswa memulakan langkah pertama ke dunia e sukan pada tahap yang lebih tinggi atau profesional. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap menyatakan kejohanan ini telah berjaya memupuk semangat kesukanan era baharu. 

Beliau berharap kejohanan sebegini terus berjaya mencapai objektif yang dihasratkan dan dapat mencari seterusnya membentuk barisan pelapis pemain di peringkat universiti bagi mewakili negara di Kejohanan Sukan Universiti Asean nanti. Secara umumnya, naib juara keseluruhan Kejohanan eSport Uni League 2020 adalah menjadi milik Universiti Malaysia Pahang (UMP) manakala tempat ketiga pula telah dimenangi Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR).

Ingin menjadi TUAH UTeM?
Ayuh bersama kami di Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ditubuhkan pada 1 Disember 2000 sebagai IPTA Teknikal pertama di Malaysia.