
PENGURUSAN & KEPIMPINAN
Dimensi pengurusan bermaksud kemahiran bagi mengatur,menyelaras atau mengawal pengoperasi sesuatu organisasi bagi mencapai suatu matlamat dalam keadaan yang harmoni. Ia termasuk dalam pengurusan kewangan, pengurusan sumber, pengurusan operasi dan lain-lain. Pengurusan yang baik melibatkan kerjasama antara pihak atasan mahupun ahli atau pekerja biasa serta pihak- pihak berkaitan dalam mencapai sesuatu matlamat. Perancangan yang rapi dan matlamat yang jelas sangat penting dalam pengurusan supaya gerak kerja dan operasi dapat diatur dengan baik bagi mencapai matlamat tersebut.
Kepimpinan pula bermaksud satu sistem yang mempunyai struktur organisasi teratur supaya perancangan dan pengoperasian dapat dijalankan dengan sempurna. Kepimpinan juga membawa maksud kewujudan pemimpin dalam organisasi yang mempunyai struktur tersendiri, berkerjasama dengan ahli bagi mencapai kecemerlangan. Kepemimpinan yang baik adalah perlu bagi memberikan pengaruh dan contoh yang baik kepada ahli organisasi supaya keyakinan dapat diwujudkan dalam organisasi.
Antara contoh program dan aktiviti yang melibatkan dimensi ini adalah Kursus Pengurusan Organisasi, Perjumpaan Antara Kelab dan Persatuan, Mesyuarat Agung Tahunan dan lain-lain.

TEKNIKAL & INOVASI
Teknikal adalah kerja atau pengetahuan dalam sesuatu bidang kemahiran yang mempunyai tatacara atau perincian agar kerja tersebut dapat dilaksanakan dengan teratur. Dimensi ini membawa maksud suatu aktiviti atau program yang dijalankan khususnya bagi meningkatkan atau memberikan pendedahan kepada bidang teknikal seperti bidang mekanikal, teknologi maklumat, elektronik dan lain-lain.
Inovasi pula bermaksud suatu perubahan atau pembaharuan daripada keupayaan kreatif yang memerlukan konsep, idea, kaedah, proses dan kegunaan baharu yang berupaya menjadikan sesuatu perkara lebih baik dari keadaan asalnya.Ianya juga adalah satu proses mengeluarkan idea yang dapat mengubah produk, perkhidmatan, sistem, dan cara operasi kepada bentuk yang baru. Bagi dimensi ini, antara contoh program dan aktiviti adalah seperti Robocon, Pertandingan Reka Cipta, Bengkel Pemantapan Software.

SUKARELAWAN
Kesukarelawanan secara umumnya merujuk kepada sebarang kegiatan melibatkan perkhidmatan atau bantuan kepada individu atau masyarakat tanpa mengharapkan balasan dan keuntungan. Sukarelawan pula adalah individu yang memberikan khidmat sukarelawan atau bantuan berbentuk barangan dan keperluan. Aktiviti ini dapat meningkatkan hubungan baik dan nilai tambah seseorang individu disamping membantu mereka yang memerlukan.
Terdapat juga badan sukarelawan yang bertindak mengumpul barangan dan keperluan yang disumbangkan masyarakat, industri dan juga badan korporat. Badan ini juga akan melakukan agihan bagi barangan dan keperluan yang diterima kepada inidividu yang memerlukan. Antara contoh aktiviti yang dijalankan di UTeM adalah Foodbank, Program U-Volunteer, Jalinan Kasih, Sekolahku Universitiku dan lain-lain.

AKADEMIK & KERJAYA
Pengertian akademik meliputi pelbagai perkara yang berkaitan pendidikan, kurikulum, pembelajaran dan pembelajaran, peperiksaan serta kelulusan yang dicapai seseorang. Untuk mendapat pencapaian yang baik dalam akademik, seseorang itu perlu menunjukkan tahap kecemerlangan yang tinggi semasa berada di institusi pengajian disamping dorongan dari pensyarah serta program-program yang dijalankan pihak institusi.
Dimensi kerjaya pula bermaksud perjalanan atau kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan kehidupan, juga boleh didefinisikan dengan profesion atau pekerjaan yang dipilih bagi mencapai kemajuan dalam hidup disamping mencari nafkah. Kerjaya memerlukan perancangan dan matlamat supaya bidang kemahiran yang dipilih selari dengan matlamat yang dituju.
Antara program dan aktiviti dari dimensi akademik dan kerjaya yang pernah dijalankan adalah Career Fair, Perkampungan Ilmu Debat, IEE Day, Introduction To Deep Learning, dan lain-lain.

ETIKA & KEROHANIAN
Etika dan Kerohanian merupakan salah satu elemen yang penting dalam pembangunan mahasiswa. Faktor etika dan kerohanian akan menjadikan ilmu dan kemahiran lebih terpedoman, dan mahasiswa akan lebih manusiawi. Asas inilah yang bakal membentuk watak dan sahsiah supaya mahasiswa berilmu memiliki kualiti amanah dan integriti yang tinggi. Pemupukan nilai etika dan kerohanian dalam diri setiap mahasiswa sebagai persiapan mendepani cabaran yang akan ditempuh dalam kehidupan mereka, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal dan berani melakukan sesuatu yang betul dan ihsan.
Matlamat utama Dimensi Etika dan Kerohanian adalah untuk membantu mahasiswa untuk menerapkan nilai-nilai keagamaan dan moral dalam diri supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh agama dan etika budaya rakyat Malaysia. Dimensi ini juga dapat membantu para mahasiswa untuk meningkatkan sifat disiplin dalam diri untuk sentiasa menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang tidak bermanfaat dan berani untuk menghadapi pelbagai cabaran. Dimensi ini juga diwujudkan untuk menerapkan nilai-nilai murni yang sempurna kepada generasi muda pada hari ini agar mereka tidak terus hanyut dengan kemodenan semata-mata tanpa mempunyai jati diri yang mantap dalam menghadapi arus globalisasi yang kian mencabar.

BUDAYA & ENTITI NASIONAL
Identiti Nasional ialah penerapan yang perlu ada di dalam diri mahasiswa. Ianya untuk membangunkan semangat patriotisma di kalangan mereka agar pada masa akan datang merekalah benteng negara yang ampuh dalam proses memajukan negara. Semangat Identiti Nasional ini mempunyai elemen cinta dan setia kepada negara Malaysia yang seharusnya dipupuk di dalam diri setiap mahasiswa agar menjadi rakyat yang lebih berperanan bagi kemajuan negara.Oleh itu Identiti Nasional akan memberikan kesedaran kepada mahasiswa menghormati perlembagaan, serta rela berkorban bagi menjaga kedaulatan dan maruah negara tanpa mengira agama, bangsa dan negara.
Budaya pula boleh didefinisikan sebagai perilaku dan adab yang diterapkan melalui aktiviti kebudayaan dan muzik dalam konteks mendidik pelajar menjadi modal insan yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan berkemahiran sebagai pemimpin generasi akan datang yang mampu memberikan kesejahtreaan kepada universiti, masyarakat dan negara.

KEUSAHAWANAN
Keusahawanan merupakan Dimensi TUAH yang memberi fokus terhadap penganjuran dan penyertaan pelajar dalam sebarang aktiviti atau program berbentuk perniagaan. Tujuan utama penekanan terhadap dimensi ini adalah untuk memastikan pelajar yang akan dilahirkan di lengkapi dengan ciri-ciri keusahawanan untuk diaplikasikan ke dalam industri. Pelajar yang dilengkapi dengan ciri-ciri keusahawanan akan mampu menerokai potensi diri seterusnya mampu untuk menyumbang tenaga dan kepakaran yang lebih menyeluruh bukan sahaja kepada industri tetapi juga kepada komuniti sosial. Antara kemahiran yang mampu dilahirkan adalah kebolehan untuk mengenalpasti peluang, berani untuk mengambil risiko, mentadbir dan menggunakan sumber dengan efektif dan efisien, kemahiran berkomunikasi yang berkesan, serta kualiti perhubungan awam (public relation)
Dalam Dimensi Keusahawanan TUAH, aktiviti atau program berbentuk keusahawanan tidak hanya merangkumi aktiviti yang melibatkan transaksi jual beli semata-mata. Dimensi Keusahawanan TUAH merangkumi sebarang aktiviti yang melibatkan peningkatan ilmu pengetahuan tentang bidang perniagaan sama ada secara teori atau praktikal. Antara aktiviti yang termasuk dalam dimensi ini adalah seperti berikut aktiviti jual beli, ceramah keusahawanan, kursus keusahawanan, aktiviti praktikal dalam ilmu perniagaan, dan sesi perkongsian perniagaan.

SUKAN & REKREASI
Sukan merupakan segala aktiviti atau kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga seperti permainan bolasepak, berenang, tenis, lumba lari, badminton dan sebagainya. Sukan dilakukan sebagai acara hiburan iaitu sama ada untuk tujuan pertandingan mahupan kegiatan untuk menyihatkan badan. Aktiviti sukan melibatkan peraturan dan pertandingan dan semua peserta yang terlibat adalah terikat dengan peraturan tersebut.Ianya mempunyai tujuan untuk mencapai kemenangan dalam pertandingan. Antara contoh aktiviti sukan yang telah dijalankan adalah Sukan Antara Fakulti, Temasya Olahraga Tahunan, Sukan IPT Se-Malaysia (SUKIPT), dan Sukan MASUM.
Rekreasi pula adalah suatu kegiatan yang menyeronokkan yang boleh menyegarkan kembali kesihatan badan dan melapangkan fikiran. Aktiviti rekreasi di UTeM melibatkan semua elemen rekreasi (outdoor) yang melibatkan penglibatan pelajar. Antaranya ialah berkayak, mendaki tembok tiruan, elemen tali tinggi (abseiling dan flying fox), mendaki gunung, berkhemah dan lain-lain. Pelbagai aktiviti berkenaan rekreasi telah dijalankan oleh pelajar UTeM.