Skip to main content

KATA ALUAN

Y.BRS PROFESOR TS. DR. MASSILA BINTI KAMALRUDIN

NAIB CANSELOR 

UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera

Bismillahirrahmanirrahim. Selamat Datang ke Laman Web Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni (HEPA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Dalam aspek melahirkan graduan holisitik, UTeM menitikberatkan keseimbangan di antara pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran insaniah. Ini adalah untuk memastikan graduan yang dilahirkan memiliki atribut siap siaga industri (industry-ready), dan seimbang dalam segenap aspek keperluan bagi bersaing dan terserlah dikalangan yang terbaik. Justeru, saya menyeru mahasiswa dan mahasiswi semua untuk menggunakan segala masa dan peluang yang tersedia sepanjang pengajian di Universiti ini bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata, malah dapat memperbaiki kompetensi diri menerusi penyertaan dan penglibatan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan secara formal mahupun tidak formal.

Selain itu, diharapkan mahasiswa dan mahasiswi dapat mendokong aspirasi Universiti tercinta ini menerusi pembudayaan semangat T.U.A.H iaitu Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik dan T.E.J.A sebagai Tangkas, Elegan, Jagat dan Adaptif dalam diri masing-masing sekaligus menyokong hasrat pembangunan siswa dan siswi yang profesional, beretika, ihsan dan mempunyai daya juang yang tinggi. Ini adalah selaras dengan Pelan Strategik UTeM 2023-2025 terutama fokus HEPA di Teras Strategik 3 iaitu “Menjuarai Khidmat Insani, Mengundang Kesejahteraan”. Melalui teras ini, pihak HEPA akan terus memastikan kelangsungan perancangan dan pelaksanaan tindakan strategik yang diatur akan melahirkan graduan TUAH dan TEJA yang cemerlang, berkualiti dan seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi.

Oleh itu, gunakanlah peluang keemasan ini dalam memastikan masa depan yang lebih cerah lagi gemilang. Manfaatkanlah segala kemudahan dan fasiliti yang telah disediakan di UTeM bagi membantu anda semua untuk membina nilai diri yang berkualiti seterusnya menjadi rebutan industri. Peri pentingnya, bagi melahirkan tenaga kerja yang berkualiti dan kompeten maka lengkapkanlah diri anda dengan kemahiran insaniah dan kepakaran yang diperlukan industri dengan kemampuan untuk menyesuaikan diri terhadap persekitaran yang dinamik.

Akhir kata, Laman Web HEPA yang dibangunkan dengan ciri-ciri informatif dan interaktif ini diharapkan akan memudahkan para pengguna terutama TUAH dan TEJA UTeM mengakses maklumat yang tepat dan cepat pada bila-bila masa yang dikehendaki. Seterusnya, adalah menjadi harapan besar saya, agar Laman Web HEPA ini akan terus berperanan menyalurkan maklumat terkini segala aktiviti dan kegiatan Pejabat HEPA yang dapat dimanfaatkan oleh semua pengunjung dalam usaha memperkasakan budaya ilmu yang berterusan.

Terima kasih kerana anda telah melayari Laman Web HEPA dan Selamat Maju Jaya.

Salam hormat

Profesor Ts. Dr. Massila Binti Kamalrudin
Naib Canselor